Solat adalah satu kewajipan dalam hidup seorang mukmin. Namun ada kalanya solat itu diambil remeh, solat seperti ayam patuk jagung. Salah satu syarat sah solat ialah berwudhuk dimana wudhuk perlu diambil dengan berhati-hati agar ianya sah. Tahukah anda bahawa dalam wudhuk terdapat doa-doa khas yang boleh kita amalkan agar mendapat khasiat sepenuhnya dan menjadikan wudhuk kita lebih efektif
Adapun doa-doa ini adalah sepertimana yang dianjurkan oleh Al-Imam Hujjatul Islam Al-Ghazali r.a. Semoga pembaca boleh mengamalkannya.
1.Doa ketika mengadap kiblat dan duduk di tempat yang tinggi :
Dengan namamu Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Ya Allah! Aku berlindung dengan-Mu daripada gangguan syaitan dan aku berlindung dengan-Mu daripada kehadiran mereka disisiku.
2.Doa Ketika membasuh kedua tangan :
Ya Allah! Aku meminta akan Engkau akan tuah dan berkat, dan aku berlindung dengan-Mu daripada sial dan kebinasaan.
3.Doa ketika berkumur-kumur :
Ya Allah! Permudahkanlah aku untuk membaca kitab-Mu (al-Quran) dan untuk memperbanyakkan berzikir kepada-Mu dan kukuhkanlah aku dengan perkataan yang kukuh (Laa ilaaha illallah) di dunia dan di akhirat {maksudnya jadikan hidup dan mati dalam keadaan beriman}.
4.Doa ketika memasukkan air ke dalam hidung :
Ya Allah! Ciumkanlah akan hidungku ini akan bau wangi syurga sedangkan engkau redha bagiku.
5.Doa ketika menghembuskan air dari hidung :
Ya Allah! Aku berlindung dengan-Mu daripada bau busuk api neraka dan daripada kejahatan tempat kediamanku.
6.Doa ketika membasuh muka :
Ya Allah! Putihkanlah mukaku dengan nur-Mu pada hari yang menjadi kan putih muka para Aulia-Mu (hari kebangkitan) dan janganlah Engkau hitamkan mukaku dengan kegelapan –Mu pada hari yang menjadi hitam muka musuh-musuh-Mu.
7.Doa ketika membasuh tangan kanan :
Ya Allah! Berikanlah catitan amalanku (pada hari kiamat nanti) di tangan kananku ini dan hisablah aku dengan hisab yang mudah.
8.Doa ketika membasuh tangan kiri :
Ya Allah! Aku berlindung dengan-Mu daripada bahawa Engkau memberikan kepadaku akan catitan amalanku di tangan kiriku, atau Engkau berikan kepadaku daripada sebelah belakangku.
9.Doa ketika menyapu kepala :
Ya Allah! Liputilah aku dengan rahmat-Mu dan turunkanlah kepadaku berkat-Mu, dan naungilah aku di bawah naungan ‘Arasy-Mu di hari yang tidak ada naungan kecuali hanya naungan-Mu. Ya Allah! Haramkanlah rambutku dan kulitku daripada sentuhan api neraka.
10.Doa ketika membasuh kedua telinga :
Ya Allah! Jadikanlah aku daripada hamba-Mu yang mendengar sesuatu perkataan lalu mereka mengikuti yang baik-baik daripadanya. Ya Allah! Perdengarkanlah akan aku akan suara pemanggil syurga di dalam syurga bersama dengan orang yang baik.
11.Doa ketika menyapu tengkok :
Ya Allah! Merdekakanlah (bebaskanlah) tengkokku ini daripada api neraka dan aku berlindung dengan-Mu daripada segala rantai dan belenggu (di dalam api neraka).
12.Doa ketika membasuh kaki yang kanan :
Ya Allah! Tetapkanlah kedua kakiku ini di atas titian Siratul Mustaqim bersama-sama dengan kaki-kaki hamba-Mu yang soleh.
13.Doa ketika membasuh kaki yang kiri :
Ya Allah! Aku berlindung dengan-Mu daripada tergelincir kakiku ke dalam jurang api neraka ketika aku melalui di atas titian Siratul Mustaqim. Di mana pada hari itu akan tergelincir kaki-kaki orang munafiq dan musyrik.
Dipetik dari : Kitab Hidayatus Salikin Fii Suluki Maslakil Muttaqin dan Kitab Bidayatul Hidayah
Tuesday, July 1, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment