Kelebihan Sembahyang Dhuha
Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman:
“Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.”(Riwayat Ahmad)
Hadis
 Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Dhuha yang mana antara 
faedahnya, Allah Ta’ala memberi jaminan akan melaksanakan segala 
keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari.
Antara ibadat 
sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah SAW sendiri ialah 
solat sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan
 keutamaannya, antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya:
“Kekasihku
 Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak 
meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah 
mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat 
Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada 
tiap-tiap bulan”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
-Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :
“Pada
 tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu 
bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu 
sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai 
ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha 
.”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
-Adapun
 kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” 
sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki 
dan menolak kepapaan."
-Dalam
 satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : 
“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah 
baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.”(Riwayat 
Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
-Dan
 daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar 
Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat 
Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai 
daripada emas”(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)
Waktu
 sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai se-penggalah dan 
berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan 
sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.
Cara
 menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang
 lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, 
enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya 
tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara 
tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah 
bermaksud :”Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan 
menambahnya seberapa yang dikehedakinya.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim 
dan Ibnu Majah)
Dalam
 sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda bermaksud : ” Barangsiapa yang
 menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia
 daripada orang-orang yang lalai daripada mengingati Allah dan 
barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia 
daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang 
menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari 
tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis 
baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang
 menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya 
mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan 
Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah 
tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih 
baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” (Riwayat 
At-Thabarani ).

No comments:
Post a Comment