Tuesday, July 8, 2008

Bila nak potong kuku?

Kebersihan amat penting dalam kehidupan seorang remaja. Diri yang bersih secara luarannya selalu mendatangkan tanggapan pertama(first impression) orang lain yang baik terhadap diri anda.Salah satu aspek kebersihan yang perlu dijaga ialah kuku. Kadangkala kita suka membela kuku dan juga menilatkannya. Seringkali juga kita malas memotong kuku sehingga menyakiti kulit di tepi kuku. Kalau teringat nak potong kuku barulah kita potong. Tapi, tahukan kita bahawasanya ada hari-hari tertentu yang digalakkan memotong kuku? bila tu?

  • Hari Sabtu: Nescaya keluar dari dalam tubuhnya ubat dan masuk kepadanya penyakit.
  • Hari Ahad: Nescaya keluar daripadanya kekayaan dan masuk kemiskinan.
  • Hari Isnin: Nescaya keluar daripadanya gila dan masuk sihat
  • Hari Selasa: Nescaya keluar daripadanya sihat dan masuk penyakit
  • Hari Rabu: Nescaya keluar daripadanya was-was dan masuk kepadanya kepapaan.
  • Hari Khamis: Nescaya keluar daripadanya gila dan masuk kepadanya sembuh dari penyakit.
  • Hari Jumaat: Nescaya keluar dosa-dosanya seperti pada hari dilahirkan oleh ibunya dan masuk kepadanya rahmat daripada Allah Taala.
Wallahu a'lam. Tidak tahu sejauh mana kebenarannya tetapi ada baiknya kita memotong kuku hari jumaat, sunnah kot?

Thursday, July 3, 2008

Barisan ketika hari kebangkitan

Buat renungan rakan-rakan

Suatu ketika, Muadz bin Jabal ra menghadap Rasulullah saw dan bertanya: 'Wahai Rasulullah, tolong uraikan kepadaku mengenai firman Allah SWT: 'Pada saat sangkakala ditiup, maka kamu sekalian datang berbaris-baris.' (QS An-Naba':18)'

Mendengar pertanyaan itu, baginda menangis dan basah pakaian dengan air mata. Lalu menjawab: 'Wahai Muadz, engkau telah bertanya kepadaku, perkara yang amat besar, bahwa umatku akan digiring, dikumpulkan berbaris-baris.'

Barisan pertama, digiring dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan mereka ini dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih: 'Mereka itu adalah orang-orang yang sewaktu hidupnya menyakiti hati tetangganya, maka demikianlah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka...'

Barisan kedua, digiring dari kubur berbentuk babi hutan. Datanglah suara dari sisi Yang Maha Pengasih: 'Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya meringan-ringankan sholat,maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka...'

Barisan ketiga, mereka berbentuk keledai, sedangkan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking. 'Mereka itu adalah orang yang enggan membayar zakat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka...'

Barisan keempat, digiring dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancuran keluar dari mulut mereka. 'Mereka itu adalah orang yang berdusta di dalam jual beli, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka...'

Barisan kelima, digiring dari kubur dengan bau busuk dari bangkai. Ketika itu Allah SWT menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar. 'Mereka itu adalah orang yang menyembunyikan perlakuan durhaka takut diketahui oleh manusia tetapi tidak pula merasa takut kepada Allah SWT, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka...'

Barisan keenam, digiring dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan. 'Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka...'

Barisan ketujuh, digiring dari kubur tanpa mempunyai lidah tetapi dari mulut mereka mengalir keluar nanah dan darah. 'Mereka itu adalah orang yang enggan memberi kesaksian di atas kebenaran, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka...'

Barisan kelapan, digiring dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas. 'Mereka adalah orang yang berbuat zina, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka...'

Barisan kesembilan, digiring dari kubur dengan berwajah hitam gelap dan bermata biru sementara dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh. 'Mereka itu adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara yang tidak sebenarnya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka...'

Barisan kesepuluh, digiring dari kubur mereka dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan penyakit sopak dan kusta. 'Mereka adalah orang yang durhaka kepada orang tuanya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka...'

Barisan kesebelas, digiring dari kubur mereka dengan berkeadaan buta mata-kepala, gigi mereka memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka melebar sampai ke dada dan lidah mereka terjulur memanjang sampai ke perut mereka dan keluar beraneka kotoran. 'Mereka adalah orang yang minum arak, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka...'

Barisan keduabelas, mereka digiring dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka, datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan: 'Mereka adalah orang yang beramal saleh dan banyak berbuat baik. Mereka menjauhi perbuatan durhaka, mereka memelihara sholat lima waktu, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah bertaubat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga, mendapat ampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah Yang Maha Pengasih...'

Wednesday, July 2, 2008

Khasiat Ayat Seribu Dinar


Mungkin kita selalu mendengar tentang ayat ini namun kita jarang mengamalkannya. Sesungguhnya ayat seribu dinar ini mempunyai banyak khasiatnya jika diamalkn dan jika kita benar-benar ikhlas membacakannya.

Menurut ulama termasuk ulama besar ilmu tafsir, ada banyak faedah dan
fadilat yang diperoleh daripada amalan ayat seribu dinar iaitu baris
terakhir ayat kedua dan bersambung dengan ayat ketiga daripada surah
al-Talaq.

Antara fadilatnya ialah mendapat rezeki yang tidak disangka bahkan
memperoleh rezeki menurut jalan yang tidak pernah terfikir,
melenyapkan segala bentuk kesusahan serta dijauhkan daripada keraguan
dan kesusahan maut.

Menurut banyak riwayat, sebab ayat seribu dinar diturunkan Allah
adalah kerana peristiwa berkaitan seorang sahabat bernama Auf bin
Malik al-Asyja'i yang mempunyai anak lelaki ditawan kaum Musyrikin.

Beliau mengadu perkara itu kepada Rasulullah SAW dan Baginda meminta
Auf supaya bersabar sambil bersabda kepadanya yang
bermaksud: "Sesungguhnya Allah akan memberi jalan keluar kepadamu."

Ternyata tidak lama selepas itu anaknya dilepaskan daripada tawanan
pihak musuh dan dalam perjalanan ia terserempak seekor kambing
kepunyaan musuh lalu dibawanya kambing itu kepada ayahnya.

Kemudian turunlah ayat yang bermaksud: "Siapa yang bertakwa kepada
Allah, Dia menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari
jalan yang tidak disangka-sangka dan tidak terfikir sebelumnya."
(Hadis riwayat Ibnu Jarir)

Menyingkap khasiat dan kegunaan pelbagai surah dalam al-Quran, buku
Amalan Mustajab dan Murah Rezeki hasil tulisan Nurhafiz Abdullah
memberi tumpuan kepada hikayat yang dikaitkan dengan ayat seribu
dinar.

Ini termasuk riwayat hartawan yang bermimpi didatangi lelaki meminta
beliau bersedekah 1,000 dinar kepada fakir miskin dan kisah Malik bin
Dinar yang dapat dibaca pada bahagian awal buku berkaitan ayat seribu
dinar.

Pada masa sama, buku setebal 162 halaman ini turut mendedahkan
fadilat dan khasiat ayat surah al-Fatihah, al-Kursi, al-Qadr, al-
Ikhlas dan beberapa surah lain supaya dapat diamalkan pembaca bagi
menyelesaikan masalah dihadapi dalam kehidupan.

Begitu juga doa untuk kejayaan, keberkatan hidup serta murah rezeki
yang dilampirkan dalam usaha mengajak manusia tabah menghadapi ujian
yang didatangkan dan berusaha mencari jalan penyelesaian dengan
bermohon kepada Allah.

Ada 30 doa memohon pertolongan Allah disediakan dalam buku Amalan
Mustajab dan Murah Rezeki yang boleh dijadikan panduan serta amalan
harian termasuk doa memohon dibuka pintu rezeki, diberi kecerdasan
akal dan hati serta memohon sentiasa dicintai Allah.

Kandungan buku ini menekankan hal berkaitan fadilat dan khasiat
beramal dengan ayat wahyu Allah dalam al-Quran serta hadis Rasulullah
SAW sebagai jalan keluar bagi mereka yang berhadapan kesusahan selain
ingin mencapai hajat untuk diri, keluarga serta orang lain.

Buku Amalan Mustajab dan Murah Rezeki adalah rujukan sumber ilmu yang
bukan saja menjadi penawar malah, malah mendorong pembaca
memperbanyakkan ibadat sunat dengan membaca ayat al-Quran seterusnya
menjadikannya sebahagian amalan harian.

Ilmu yang berkat adalah ilmu yang dimanfaatkan, semoga usaha penulis
menyampaikan maklumat kepada pembaca yang akan memanfaatkannya
membawa kedua-duanya beroleh keredaan Allah serta rahmat dalam
kehidupan di dunia dan akhirat.

Tuesday, July 1, 2008

Doa ketika berwudhuk

Solat adalah satu kewajipan dalam hidup seorang mukmin. Namun ada kalanya solat itu diambil remeh, solat seperti ayam patuk jagung. Salah satu syarat sah solat ialah berwudhuk dimana wudhuk perlu diambil dengan berhati-hati agar ianya sah. Tahukah anda bahawa dalam wudhuk terdapat doa-doa khas yang boleh kita amalkan agar mendapat khasiat sepenuhnya dan menjadikan wudhuk kita lebih efektif

Adapun doa-doa ini adalah sepertimana yang dianjurkan oleh Al-Imam Hujjatul Islam Al-Ghazali r.a. Semoga pembaca boleh mengamalkannya.
1.Doa ketika mengadap kiblat dan duduk di tempat yang tinggi :
Dengan namamu Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Ya Allah! Aku berlindung dengan-Mu daripada gangguan syaitan dan aku berlindung dengan-Mu daripada kehadiran mereka disisiku.
2.Doa Ketika membasuh kedua tangan :
Ya Allah! Aku meminta akan Engkau akan tuah dan berkat, dan aku berlindung dengan-Mu daripada sial dan kebinasaan.
3.Doa ketika berkumur-kumur :
Ya Allah! Permudahkanlah aku untuk membaca kitab-Mu (al-Quran) dan untuk memperbanyakkan berzikir kepada-Mu dan kukuhkanlah aku dengan perkataan yang kukuh (Laa ilaaha illallah) di dunia dan di akhirat {maksudnya jadikan hidup dan mati dalam keadaan beriman}.
4.Doa ketika memasukkan air ke dalam hidung :
Ya Allah! Ciumkanlah akan hidungku ini akan bau wangi syurga sedangkan engkau redha bagiku.
5.Doa ketika menghembuskan air dari hidung :
Ya Allah! Aku berlindung dengan-Mu daripada bau busuk api neraka dan daripada kejahatan tempat kediamanku.
6.Doa ketika membasuh muka :
Ya Allah! Putihkanlah mukaku dengan nur-Mu pada hari yang menjadi kan putih muka para Aulia-Mu (hari kebangkitan) dan janganlah Engkau hitamkan mukaku dengan kegelapan –Mu pada hari yang menjadi hitam muka musuh-musuh-Mu.
7.Doa ketika membasuh tangan kanan :
Ya Allah! Berikanlah catitan amalanku (pada hari kiamat nanti) di tangan kananku ini dan hisablah aku dengan hisab yang mudah.
8.Doa ketika membasuh tangan kiri :
Ya Allah! Aku berlindung dengan-Mu daripada bahawa Engkau memberikan kepadaku akan catitan amalanku di tangan kiriku, atau Engkau berikan kepadaku daripada sebelah belakangku.
9.Doa ketika menyapu kepala :
Ya Allah! Liputilah aku dengan rahmat-Mu dan turunkanlah kepadaku berkat-Mu, dan naungilah aku di bawah naungan ‘Arasy-Mu di hari yang tidak ada naungan kecuali hanya naungan-Mu. Ya Allah! Haramkanlah rambutku dan kulitku daripada sentuhan api neraka.
10.Doa ketika membasuh kedua telinga :
Ya Allah! Jadikanlah aku daripada hamba-Mu yang mendengar sesuatu perkataan lalu mereka mengikuti yang baik-baik daripadanya. Ya Allah! Perdengarkanlah akan aku akan suara pemanggil syurga di dalam syurga bersama dengan orang yang baik.
11.Doa ketika menyapu tengkok :
Ya Allah! Merdekakanlah (bebaskanlah) tengkokku ini daripada api neraka dan aku berlindung dengan-Mu daripada segala rantai dan belenggu (di dalam api neraka).
12.Doa ketika membasuh kaki yang kanan :
Ya Allah! Tetapkanlah kedua kakiku ini di atas titian Siratul Mustaqim bersama-sama dengan kaki-kaki hamba-Mu yang soleh.
13.Doa ketika membasuh kaki yang kiri :
Ya Allah! Aku berlindung dengan-Mu daripada tergelincir kakiku ke dalam jurang api neraka ketika aku melalui di atas titian Siratul Mustaqim. Di mana pada hari itu akan tergelincir kaki-kaki orang munafiq dan musyrik.

Dipetik dari : Kitab Hidayatus Salikin Fii Suluki Maslakil Muttaqin dan Kitab Bidayatul Hidayah